Kenyataan PEMBINA UiTM Shah Alam sempena PRK UiTM Semalaysia 2013





1. Bahang Pilihan Raya Kampus (PRK) semakin dirasai oleh majority mahasiswa-mahasiswa yang masih menuntut di IPT-IPT di seluruh Malaysia. Beberapa univeriti telah berjaya mengadakan PRK di kampus masing-masing seperti UKM dan USIM, walaupun beberapa insiden baru-baru ini yang terjadi semasa tempoh berkempen yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mahasiswa. Tahniah atas kemenangan yang diperolehi dan takziah diatas amanah yang bakal dipikul oleh calon-calon yang telah dipilih oleh mahasiswa-mahasiswa.

2. Tidak terlepas juga universiti terkemuka dan terbesar di Malaysia iaitu Universiti Teknologi MARA yang bakal mengadakan PRK akhir Oktober atau awal November ini. UiTM mempunyai keunikan yang tersendiri dalam suasana PRK yang mana kita semua sedia maklum tiada pertembungan dua pihak (iaitu pro mahasiswa dan pro aspirasi) seperti universiti-universiti yang lain. Namun begitu, fungsi dan peranan mahasiswa yang bakal mengisi kerusi-kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak ada bezanya dengan universiti-universiti lain.

3. Menyedari peranan barisan Majlis Perwakilan pelajar dalam mencorak budaya dan cara fikir mahasiswa kampus, PEMBINA UiTM Shah Alam menyeru supaya barisan kempimpinan baru MPP UiTM Shah Alam khususnya dan UiTM kampus cawangan secara amnya seharusnya fokus dalam pembangunan jatidiri mahasiswa-mahasiswa UiTM sejajar dengan falsafah penubuhan UiTM iaitu melahirkan mahasiswa yang mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni agar menjadi graduan profesional yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, Agama, masyarakat dan negara.

4. Kelesuan dalam aktivisme mahasiswa seringkali berlaku di mana-mana IPT. Oleh yang demikian, PEMBINA UiTM Shah Alam menyeru kepada kepimpinan MPP yang baru nanti agar fokus kepada program-program yang mampu memberikan inspirasi kepada mahasiswa-mahasiswa UiTM bagi melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang berfikir di luar kotak, berfikiran matang, jelas hala tuju, cakna isu semasa samada di peringkal nasional mahupun global dan juga mampu berdiri di atas kaki sendiri.

5. Selain menjaga kebajikan pelajar, bakal-bakal pimpinan MPP juga seharusnya cakna denga isu-isu berkaitan serangan idealogi-idealogi yang bertantangan dengan budaya dan norma masyarakat bumiputra islam di UiTM seperti idealogi Liberalisme, sosialisme, syiah, LGBT dan pluralisme sejajar dengan perkembangan idealogi semasa yang mana mampu mempengaruhi mahasiswa-mahasiswa di UiTM dan IPT umumnya dan seterusnya mengugat aqidah pelajar-pelajar melayu muslim dalam UiTM. Idealogi-idealogi asing seumpama ini seharusnya dilarang dan disekat daripada menular dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa UiTM.

6. PEMBINA UiTM Shah Alam juga menyeru calon-calon yang bakal meneraju tampuk kepimpinan tertinggi pelajar di UiTM ini agar cakna dan peka denga isu-isu semasa, lebih-lebih lagi isu-isu berkaitan dengan UiTM, ancaman-ancaman daripada pihak luar yang ingin mengugat status quo UiTM sebagai sebuah universiti khas untuk mahasiswa-mahasiswa bumiputera sahaja. PEMBINA UiTM Shah Alam juga menyokong sepenuhnya usaha-usaha samada daripada pihak pentadbiran universiti mahupun mahasiswa bagi menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti Di Raja Malaysia.

7. Pemilihan atau undian calon-calon MPP adalah berada di tangan mahasiswa, oleh yang demikian, PEMBINA UiTM Shah Alam juga menyeru mahasiswa-mahasiswa UiTM agar memilih calon-calon MPP yang mempunyai ciri-ciri dan nilai sesuai dengan syariat islam seperti yang berikut:

a. Aqidah yang benar
b. Berakhlak mulia
c. Kompeten
d. Jujur dan amanah
e. Bertanggungjawab

PEMBINA UiTM Shah Alam meletakkan harapan yang tinggi agar mahasiswa-mahasiswa yang bakal mengisi kerusi-kerusi kepimpinan MPP yang akan datang mampu membawa perubahan kepada landskap dan corak pemikiran mahasiswa-mahasiswa di UiTM dan IPT keseluruhanya. Ingatlah, jawatan yang disandang itu bukanlah tiket untuk mahasiswa bersuka-ria dan bersenang-senang dengan pelbagai kelebihan yang diberikan oleh pihak UiTM. Pimpinan mahasiswa seharusnya menjadi ‘role model’ dan agen perubahan kepada mahasiswa-mahasiswa UiTM bagi melahirkan mahasiswa yang kompeten bagi mengisi ruang-ruang kepimpinan Negara Malaysia masa hadapan dan juga tahan lasak daripada dipengaruhi oleh ideologi-ideologi barat yang menyesatkan dan tetap teguh dengan prinsip-prinsip islam yang dipegang

8. Akhir kalam, PEMBINA UiTM Shah Alam mengucapkan selamat berkempen kepada calon-calon pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam 2013/2014 dan selamat mengundi kepada mahasiswa-mahasiswa UiTM seluruhnya. Tunjukkan kematangan dan nilai intelektual sebagai mahasiswa dengan mengikut peraturan-peraturan PRK yang telah digariskan oleh pihak universiti agar tidak berlaku kes-kes seperti IPT yang lain. Ingatan juga satu pesanan Rasulullah s.a.w kepada semua pemimpin

Hadits diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Samurah, ia berkata: Telah bersabda Nabi SAW: “Wahai Abdurrahman janganlah engkau mengharapkan suatu jawatan. Sesungguhnya jika jawatan itu diberi karena permintaanmu maka kamu akan menanggung seluruh bebannya. Namun bila engkau ditugaskan tanpa permintaan, maka kamu akan ditolong oleh Allah SWT untuk mengatasinya (HR. Imam Bukhari r.a)

“Meneraju Arus, Membangun Mahasiswa”
“UiTM sentiasa di hatiku”

Abdul Hilmi Mohd Sarnudin
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
UiTM Shah Alam

0 comments: