2. Walaupun calon-calon yang akan bertanding dipilih melalui fakulti, hendaklah difahami bahawa secara tidak langsung, kepimpinan pelajar akan mewakili UiTM secara keseluruhan. Oleh itu, barisan MPP sesi 2013/2014 mestiliah dipilih atas kredibiliti serta ketokohannya yang akan menjaga nama baik UiTM.
3. PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana menyeru kepada individu-individu yang ingin bertanding mewakili suara masyarakat kampus supaya bersifat seperti seorang pemimpin. Sentiasa berpandangan jauh, berfikiran luas, cakna isu semasa, cekap menganalisa masalah dan mudah didekati. Ketahuilah bahawa seorang pemimpin mahasiswa bukan sekadar pemimpin yang mengutamakan masalah kebajikan semata-mata, tetapi secara tidak langsung menggerakkan mahasiswa itu sendiri supaya menjadi mahasiswa yang beragenda.
4. Hari ini kita menyaksikan kelesuan dalam kalangan mahasiswa, budaya hedonisme atau berhibur secara berlebih-lebihan secara tidak langsung mencairkan identiti mahasiswa itu sendiri. Sebagai mahasiswa, ia seharusnya dilihat sebagai seorang yang beraktivisme, cakna isu semasa, berfikiran matang dan terbuka, berprinsip, mempunyai agenda serta berilmu pengetahuan yang tinggi. Mahasiswa kini tidak lagi mempunyai agenda yang jelas serta rasa izzah yang tinggi dalam diri. Selaku barisan kepimpinan pelajar, adalah menjadi tanggungjawab MPP untuk menghidupkan kembali aktivisme dalam kalangan mahasiswa. Oleh itu, PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana menyeru barisan kepimpinan MPP untuk menjadi ‘role model’ kepimpinan buat mahasiswa supaya lahir gelombang intelektual dan kesarjanaan dalam diri mahasiswa itu sendiri.
5. Selari dengan arus perkembangan ideologi, UiTM juga turut tidak terlepas daripada menjadi sasaran ideologi yang secara langsung mengancam kedaulatan Islam seperti syiah, kristianisasi, pemikiran liberal, sekularisme, normalisme, hedonisme dan pelbagai lagi. Sebagai pucuk kepimpinan tertiggi dalam kalangan mahasiswa, PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana menyeru agar barisan MPP tegas menyekat ideologi-ideologi asing dari terus merebak dalam UiTM.
6. Untuk itu, PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana menyarankan barisan MPP untuk memastikan mahasiswa sentiasa cakna dengan isu semasa khususnya ancaman terhadap Islam. Pelbagai program-program kesedaran dan pembinaan jatidiri perlu diadakan selain daripada menjaga kebajikan pelajar. Hal ini kerana, mahasiswa yang cakna secara tidak langsung akan turut membantu dalam usaha menyekat penyebaran ideologi asing ke dalam UiTM.
7. PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana juga menyeru agar barisan MPP menunaikan setiap manifesto dengan penuh amanah dan rasa insaf. Masalah kebajikan pelajar merupakan refleksi terhadap tanggungjawab kepimpinan MPP. Justeru, penyelesaian secara menyeluruh perlu diambil perhatian iaitu menyelesaikan masalah kebajikan mahasiswa dengan menyelesaikan punca masalah itu sendiri. Menyediakan pelan pendidikan secara berterusan dalam kalangan mahasiswa mampu membentuk budaya ilmu seterusnya menyelesaikan sebahagian besar masalah kebajikan mahasiswa. Hal ini kerana masyarakat berilmu akan menjadi lebih matang dalam menguruskan sesuatu perkara.
8. Buat mahasiswa UiTM, PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana menyeru agar bijak memilih pemimpin berdasarkan ketokohan dan rasa izzah yang dimilikinya, bukan sekadar individu tersebut dikenali ramai. Barisan MPP akan mewakili suara mahasiswa, sekiranya pemimpin yang dipilih merupakan seorang pemimpin yang tiada himmah dalam diri, ia samalah seperti tin kosong yang mewakili suara sebilangan besar aspirasi mahasiswa. Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar ke hadapan dalam membawa suara mahasiswa kerana mereka melambangkan identiti mahasiswa.
9. PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana turut menyeru setiap mahasiswa untuk merasakan diri anda merupakan seorang pemimpin yang memimpin sebuah gerakan mahasiswa dalam ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ selari dengan slogan UiTM. Ketahuilah, anda semua merupakan pewaris-pewaris pucuk kepimpinan negara yang UiTM ingin lahirkan. Perlu ada rasa tanggungjawab dalam diri setiap orang mahasiswa untuk menjayakan misi dan visi UiTM.
10. Harapan PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana adalah mengimpikan gabungan mantap barisan kepimpinan MPP dan mahasiswa yang celik pemikiran dalam melahirkan sebuah gelombang yang matang seterusnya menjadi agen perubahan ke arah pembangunan modal insan kelas pertama. Secara tidak langsung menjadikan UiTM sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang didalamnya mempunyai tokoh-tokoh kepimpinan muda yang teguh prinsip, tegas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa, dan negara.
11. Akhir kata, PEMBINA UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana mengucapkan selamat mengundi. Ikutilah peraturan yang ditetapkan semasa proses pengundian supaya tiada sebarang masalah yang berlaku. Tunjukkan kematangan anda sebagai seorang mahasiswa dengan mengelakkan sebarang bentuk provokasi murahan sepanjang proses PRK.
“Meneraju Arus, Membangun Mahasiswa”
Qamarul Nazrin Bin Harun
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana